ADUN Meradong Gesa Segerakan Pelaksanaan Projek RTP 

Disiarkan pada 24 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ding Kuong Hiing menggesa pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di situ perlu disegerakan. 

Perkara itu disuarakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (DAC) Meradong sambil menekankan dokumen kelulusan di bawah tanggungjawab agensi pelaksana harus dipercepatkan. 

Katanya, tindakan pantas ini penting bagi memastikan projek yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan. 

Dalam pada itu, Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi pelaksana yang terlibat atas sokongan dan kerjasama padu dalam memastikan setiap projek yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak berjalan lancar demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Katanya, ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan berterusan, khususnya bagi meningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam untuk manfaat penduduk di kawasan tersebut.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrey Kendawang, wakil Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop Mohd Hussein Narawi, wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sarikei Gung Chiu Kion serta ketua-ketua agensi jabatan kerajaan. - EDISI UKAS