Dayang Hajah Joanita Azizah Abang Morshidi Kini Residen Bahagian Kuching Baharu

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Dayang Hajah Joanita Azizah Abang Morshidi kini merupakan Residen Bahagian Kuching yang baharu bagi menggantikan Norleha Shariff berkuat kuasa 15 April lepas.

Dayang Hajah Joanita Azizah Abang Morshidi sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan di pelbagai agensi-agensi kerajaan negeri sebelum dilantik menjadi Residen Bahagian Kuching yang baharu.

Dalam pada itu, satu majlis serah dan terima tugas Residen Bahagian Kuching telah berlangsung di Pejabat Residen Bahagian Kuching pada Isnin di antara mantan Residen Bahagian Kuching, Norleha Shariff dengan Dayang Hajah Joanita Azizah Abang Morshidi.

Sementara itu, dalam ucapan ringkasnya, Dayang Hajah Joanita Azizah Abang Morshidi berharap semua kakitangan Pejabat Residen Bahagian Kuching dapat memberi kerjasama kepada dirinya seperti Residen-Residen lain yang pernah menyandang jawatan berkenaan.

Norleha Shariff pula telah memberi taklimat mengenai fungsi Pejabat Residen Bahagian Kuching sebagai agensi peneraju bersama Pejabat-Pejabat Daerah dan Daerah Kecil dalam penganjuran pelbagai program peringkat Bahagian Kuching seperti Sarawak Delta Geopark, Sarawak Regatta, Pesta Tasik Biru, Pesta Telaga Air dan pengurusan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Bahagian Kuching serta urusan-urusan lain.

Turut hadir dalam majlis serah dan terima tugas itu ialah Pegawai Daerah Kuching, Solfi Jebal, Pegawai Daerah Bau, Constantine Gerald David Jonas, Pemangku Pegawai Daerah Lundu, Muhammad Isa Limon dan Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong.-EDISI UKAS