Pengorbanan Ibu Bapa dan Guru Pemangkin Kejayaan Pelajar

Disiarkan pada 24 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Pengorbanan ibu bapa dan guru merupakan pemangkin kepada kejayaan para pelajar, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine. 

Katanya, meskipun ramai ibu bapa datang dari latar belakang yang sederhana, namun mereka tetap berusaha memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna.

"Anak-anak harus menghargai pengorbanan ibu bapa dan menjadikan usaha ini sebagai dorongan untuk mencapai kejayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kali Ke-9 yang diadakan di Dewan Tom Bazeley, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, Mukah pada Rabu.

Royston turut menasihatkan para graduan agar tidak berputus asa dalam mengejar cita-cita mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan serta melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. 

Beliau turut menggalakkan para pelajar untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak, seperti pendidikan percuma yang bakal dilaksanakan pada tahun 2026.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Three Rivers, Donny Dahlan juga menekankan kepentingan kemenjadian pelajar selain kecemerlangan akademik. 

Beliau menggesa pelajar untuk aktif melibatkan diri dalam aktiviti sekolah bagi membina jati diri dan nilai positif.

Seramai 112 pelajar tingkatan enam diraikan dalam majlis tersebut yang menyaksikan Annur Haisyahannis Azahar dianugerahkan Tokoh Pelajar Kohort 2024, manakala Mohd Rafie Mohammad Khairolnizam dan Fariesya Ezriena Rizalfaiza menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kokurikulum.

Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Mukah Norazlyn Dairi, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Mohammad Nazir Besiri dan Penolong Kanan Tingkatan Enam Herman Nahar. - EDISI UKAS