Sarawak Tuan Rumah Kejohanan Dunia Tenis Junior J300

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: ukas



KUCHING: Sarawak sekali lagi menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa dengan penganjuran Kejohanan Dunia Tenis Junior J300 (J1) bagi merebut Piala Premier Sarawak Ke-40 pada 22 hingga 28 April ini.
 
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebelum ini iaitu dari 15 Mac hingga 20 April lepas, Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) telah menganjurkan empat acara bertaraf antarabangsa.
 
Menurutnya, antaranya ialah Pertandingan ITF World Team Junior U14 yang disertai 28 negara, diikuti Pertandingan Akhir ITF Asia Bawah 14 Tahun di mana 22 negara telah mengambil bahagian.
 
"Kejohanan Dunia Tenis Junior ini merupakan salah satu kejohanan yang berprestij bagi mengangkat nama Sarawak sebagai salah satu penganjur utama di Asia Tenggara ini.
 
"Seramai 200 orang pemain tenis dari 38 buah negara termasuk wakil dari Australia, Belgium, Bulgaria, Kanada, China, Rusia dan banyak lagi bakal berentap di gelanggang SLTA di sini," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan Piala Kejohanan Tenis Junior Siri J300 (J1) Piala Premier Sarawak ke-40 di sini pada Isnin.
 
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu menambah, Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) dan Persatuan Tennis Asia (ATF) telah menyumbang geran sebanyak RM600,000 kepada SLTA untuk menyokong kejohanan kali ini.
 
Dalam pada itu, beliau berharap dengan kerjasama ini dapat memperlihatkan komitmen SLTA terhadap sukan tenis dan sektor pelancongan di Sarawak.
 
Hadir sama, Presiden SLTA Dato Patrick Liew, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta seketariat-seketariat SLTA. –EDISI UKAS