SARIKEI: Semua penjawat awam negeri dituntut agar memberikan perkhidmatan yang efisien dan efektif kepada masyarakat, selari dengan visi dan aspirasi Kerajaan Sarawak iaitu ‘A World Class Civil Service’.
Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong menekankan bahawa setiap jabatan memikul tanggungjawab dan mengamalkan budaya kerja yang sepatutnya dalam menyampaikan perkhidmatan.
Katanya, semua kakitangan sektor awam harus mengamalkan moto perkhidmatan awam negeri iaitu ‘An Honour to Serve’ sebagai panduan dalam menjalani tugasan harian mereka.
“Selari dengan visi dan aspirasi Kerajaan Sarawak iaitu ‘A World Class Civil Service’, kita semua dituntut agar dapat memberikan perkhidmatan yang efisen dan efektif kepada masyarakat.
“Bagi menentukan dasar holistik jabatan dan agensi, kita semua yang bertugas mewakili jabatan, ‘there is no wrong door to aproach’ dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.”
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Perjumpaan Residen bersama Ketua-Ketua Jabatan Bahagian Sarikei di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei pada Selasa.
Katanya, perjumpaan ini merupakan salah satu platform yang penting untuk membincangkan pelbagai isu serta penyelesaiannya demi kebajikan masyarakat.
Menurut beliau, ini adalah titik permulaan dalam memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien dan berkesan.
Justeru itu, beliau berasa bangga dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei kerana telah mengadakan perjumpaan seumpama itu.
“Ia melambangkan kemajuan bandar Sarikei terutama komitmen Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada para penduduk di Bahagian Sarikei,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Residen Sarikei Badjuri Bidin, Pegawai-Pegawai Daerah dan Ketua-ketua Jabatan Bahagian Sarikei. – EDISI UKAS