Bangun Belaga Guna Dana RTP

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BELAGA: Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak RM200,000 melalui dana peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) pada tahun ini bagi membangunkan konstituensinya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga berkata, beliau faham terdapat banyak kekurangan dari segi infrastruktur seperti jalan, rumah tadika, tapak rumah baru, jeti, tapak tamu dan tanah tapak perkuburan baru. 

Namun begitu katanya, masalah ini akan dilihat mengikut keutamaan.

“Sepertimana yang diberitahu bahawa perkara yang diperlukan dengan segera ialah tapak bagi membina rumah baru.  

“Jika JKKK dapat mencari dan mendapat tempat untuk tapak rumah baru tersebut, kita boleh guna peruntukan RTP tahun ini, asalkan tapak sudah dikenal pasti,” ujarnya ketika berucap semasa merasmikan Gelanggang Futsal Uma Kejaman Neh, Belaga pada Sabtu.

Sementara itu tambahnya, pihak JKKK harus memainkan peranan dan memantau projek-projek ini supaya ia dapat disiapkan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan memuaskan hati penduduk.

Berhubung dengan permohonan bantuan untuk menaiktaraf kelas tadika pula, beliau telah bersetuju untuk mengagihkan peruntukan berjumlah RM50,000 dan dilakukan secara gotong royong.

“Jika JKKK tidak tahu mengenai garis panduan gotong royong ini boleh bertanya dengan Pegawai Daerah Belaga.

"Tapi mesti dibuat dengan cara gotong royong dan dibuat dengan baik-baik kerana yang menggunakan kelas ini adalah anak-anak kita sendiri,” katanya lagi.

Dalam program sama, turut diadakan perlawanan futsal kalah mati antara pasukan Belia Uma Kejaman Neh dengan pasukan Belia dari Long Amo sebagai tanda gelanggang ini telah dirasmikan.

Datuk Liwan dan isteri turut mengambil peluang tersebut untuk menyatuni dan beramah mesra dengan para penduduk. - EDISI UKAS