Pesta Tasik Biru 2024 Berlangsung Di Perkarangan Lobuh Bau

Disiarkan pada 22 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS

 
BAU: Pesta Tasik Biru 2024 bakal membuka tirainya pada 25 hingga 27 Oktober ini bertempat di Perkarangan Lobuh Bau.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, perubahan lokasi tersebut disebabkan oleh pembangunan kawasan Tasik Biru Resort City masih dalam proses transformasi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar pesta tahunan dapat dianjurkan di Tasik Biru Resort City sekiranya pembangunannya siap.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Pesta Tasik Biru 2024 di Kompleks Pejabat Daerah Bau di sini pada Selasa.

Tambah Dato Henry, pelbagai acara diadakan sepanjang tiga hari penganjuran bagi memeriahkan pesta tersebut dan secara tidak langsung bagi menarik pengunjung untuk datang.

Antaranya gerai jualan makanan dan minuman, Jualan Pameran Produk Peladang dan Hasil Pertanian, Cabutan Tiket bertuah dan jualan cenderahati serta Pertandingan Gubahan Pelbagai Buah.

Selain itu, Pertandingan dan pameran Jong Cantik, acara kebudayaan persembahan paluan gong anjuran Dayak Bidayuh National Association (DBNA) serta persembahan pentas hiburan oleh artis tempatan.

Pada 26 Oktober, turut diadakan Catwalk Finalist Miss Tasik Biru 2023, Pertandingan Gubahan Kuih Asli, Cabutan Tiket Bertuah dan Jualan Cenderahati Pesta Tasik Biru serta Pameran Pendidikan oleh Kolej Komuniti Mas Gading.

Pengisian lain termasuk Sukan Rakyat Pertandingan Menyumpit, Demonstrasi 3D Lumion, Demonstrasi Daily Soft Makeup Look, Cantuman Pokok Buah-Buahan, Demo Gubahan Bunga, Pertandingan karaoke serta konsert artis tempatan.

Manakala pada hari ketiga akan diadakan pertandingan gusti lengan seterusnya Majlis Penangguhan dan Pertandingan Akhir Miss Tasik Biru 2024.

Sehubungan itu, Dato Henry berharap agar semua masyarakat datang ke Pesta Tasik Biru 2024 bagi memeriahkan lagi pesta tersebut.

Turut hadir Pegawai Daerah Bau Constantine Gerald David Jonas, Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping, Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching Temenggong Atok Derop dan Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Bau Pemanca Robert Tom Juin. – EDISI UKAS