SINGAPURA: Sarawak telah melangkah jauh dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui dengan mencatatkan 62 peratus tenaga yang digunakan daripada sumber tenaga hijau pada tahun 2024.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata pencapaian ini melebihi sasaran awal yang ditetapkan pada 60 peratus, sekaligus membuktikan komitmen negeri ini terhadap tenaga lestari.
“Kami telah melepasi sasaran 60% tenaga boleh diperbaharui pada 2024 dengan 62% daripada campuran tenaga kami kini datang daripada sumber ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau juga menekankan bahawa pencapaian dalam sektor tenaga hidro telah membuka ruang kepada pembangunan inovasi baru.
“Sarawak kini membangunkan ladang solar terapung terbesar di Malaysia yang terletak di Batang Ai.
"Projek ini yang meliputi 86 hektar dijangka mengimbangi pelepasan karbon sebanyak 52 kilotan setahun, sekali gus mengurangkan jejak karbon kami dengan ketara,” katanya.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, Sarawak kini juga sedang meneroka teknologi Pumped Hydro Energy Storage (PHES) yang akan digabungkan dengan tenaga solar terapung.
Jelasnya, sistem ini akan memanfaatkan sinaran matahari yang banyak di Sarawak serta infrastruktur tenaga hidro yang sedia ada untuk meningkatkan keselamatan tenaga negeri.
Premier Sarawak turut berkongsi lawatan beliau ke Stesen Tenaga Drax di United Kingdom, di mana beliau menyaksikan bagaimana sebuah loji yang dahulunya menggunakan arang batu telah diubah menjadi contoh tenaga bersih melalui penggunaan biojisim.
“Pengalaman ini memberi inspirasi kepada kami untuk memulakan usaha menggunakan rumput Napier sebagai sumber tenaga bio yang boleh diperbaharui di Sarawak. Rumput ini mempunyai kelebihan kerana boleh dituai tiga kali setahun dan boleh diubah menjadi pelet tenaga yang kaya.
"Ketika ini, pelet rumput Napier dari kilang di Bintulu sudah mula dieksport ke United Kingdom, menunjukkan potensi besar tenaga ini dalam pasaran tenaga global,” ucap beliau.
Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abg Hipni, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.-EDISI UKAS