'Bandarian Charity Run' Eratkan Hubungan Komuniti di Bintulu

Disiarkan pada 21 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Program 'Bandarian Charity Run' yang berlangsung di Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu berjaya menyatukan pelajar, guru, dan ibu bapa dalam semangat perpaduan berbilang bangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata acara ini bukan sahaja memupuk semangat kesukanan tetapi juga menggalakkan gaya hidup sihat.

Dalam ucapannya semasa merasmikan acara tersebut, beliau berkata dana yang terkumpul akan disalurkan untuk tujuan kebajikan yang menunjukkan komitmen masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan.

Johnny Pang juga turut menzahirkan penghargaan atas usaha penganjur, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Unit Kokurikulum SMK Bandar Bintulu dalam menggalakkan perpaduan melalui program tersebut.

Beliau menekankan kepentingan penglibatan pelajar dalam aktiviti amal bagi membentuk individu yang bukan sahaja sihat secara fizikal, tetapi juga mempunyai empati dan kepimpinan.

Johnny Pang memberi jaminan untuk terus menyokong program-program yang memfokuskan pembangunan sekolah, belia, dan peningkatan kualiti hidup di kawasan Tanjung Batu.

Hadir sama Pengerusi PIBG Edwin Wong Ing Hoe dan Pengetua SMK Bandar Bintulu Rubiah Taib serta para perserta larian. -EDISI UKAS