Pertahan Adat Tradisi Kaul Seraheng Kakan Agar Tidak Pupus Ditelan Zaman

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Adat tradisi Kaul Seraheng Kakan perlu diterus dan dikekalkan oleh generasi yang akan datang supaya budaya orang Melanau ini tidak pupus ditelan oleh zaman.
 
Impian itu disuarakan Bapa Kaul Mukah, Edmund Salman Tuna ketika ditemui pihak media sejurus selesai melakukan upacara ritual sempena Kaul Seraheng Kakan 2024 pada Sabtu di Pantai Kala Dana Mukah.
 
"Hari ini ialah kemuncak bagi kita sama-sama untuk kita memberi kesyukuran dan berterima kasih kepada mahkluk-makhluk yang menjaga laut, darat, langit dan bumi.
 
"Itulah tujuan Kaul Seraheng Kakan diadakan pada hari ini sebagai meneruskan tradisi oleh nenek moyang kita terdahulu untuk memberi rezeki yang banyak kepada kita semua khususnya para nelayan dan petani.”
 
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi yang juga Pengerusi Persatuan Melanau Mukah menyatakan sambutan Kaul Seraheng Kakan pada tahun ini adalah amat menggalakkan dan ramai pengunjung yang datang untuk turut sama merasakan keunikan dari budaya Melanau ini.
 
"Tarikan dari keunikan Kaul Seraheng Kakan ini perlu dikekalkan untuk generasi sekarang dan akan datang dan pada hari ini kita dapat melihat ramai yang menggunakan busana melanau yang juga salah satu dari keunikan itu.
 
ADUN Tellian, Royston Valentine ketika ditemui juga mengucapkan ‘Selamat Datang’ kepada pengunjung dan orang ramai yang telah datang menyaksikan sendiri keunikan Perarakan Kaul Seraheng Kakan pada pagi ini.
 
"Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Tetep Kaul Asel (jkTEKA) kerana telah berjaya menganjurkan Kaul Serahang Kakan buat sekian kalinya setiap tahun tanpa gagal dengan promosi dan publisiti yang kita ada termasuk media sosial.
 
Beliau juga mengulas pada tahun ini Kaul Mukah dan ritual Kaul Seraheng Kakan diasingkan dan bukan satu kebiasaan setiap tahun bagi memberi penghormatan kepada pemergian Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang suatu ketika dahulu telah mengangkat Kaul ini ke skala yang lebih besar dari upacara ritual sahaja ke acara dalam bentuk keramaian.
 
Perarakan Kaul Seraheng Kakan pagi ini telah diiringi oleh 35 perahu besar dan kecil melalui Sungai Tellian yang disertai sebahagian besar penduduk kampung itu sendiri menuju ke muara sungai Mukah.
 
Turut hadir Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh dan Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip. - EDISI UKAS