Pasukan Patball Johan Pertandingan Sepak Takraw Piala Pusingan YB Anyi Jana

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


NGEMAH: Pasukan Patball dari Bintulu muncul johan Pertandingan Sepak Takraw Piala Pusingan YB Anyi Jana 2024 yang melabuhkan tirai pada Ahad.
 
Kemenangan itu membolehkan pasukan itu merangkul wang tunai RM1,000, piala dan piala pusingan.
 
Pasukan Sibu Jaya dari Sibu muncul naib johan dan membawa pulang hadiah RM700 dan piala.
 
Manakala pasukan Sakang Seribu 24 A dari Pasai Siong di tempat ketiga dan membawa pulang hadiah RM500 dan piala.
 
Majlis penutupan pertandingan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana di Gelanggang Rh. Barnabas, Sungai Tuah, Kanowit.
 
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Pemuda PRS Bahagian Ngemah dan Kelab Belia Pekan Kanowit kerana telah berjaya menganjurkan pertandingan tersebut.
 
Beliau juga berharap agar penyertaan bagi tahun depan akan mendapat tumpuan yang lebih dalam kalangan belia yang berminat.
 
Menurut beliau, pertandingan tersebut bukan hanya untuk mencari juara tetapi juga penting untuk kesihatan, kecergasan dan mengisi masa lapang untuk para belia.
 
Sebanyak 18 pasukan dari Kanowit, Sibu, Selangau dan Bintulu telah menyertai pertandingan tersebut selama dua hari tersebut.
 
Hadir sama Pengerusi Penganjur merangkap Ketua Pemuda PRS Bahagian Ngemah Stenny Willis, Penghulu Lembat Atau, Penghulu Dunstan Mandau, Kaunselor Juin Adan, Timbalan Pengerusi PRS Bahagian Ngemah Ramba Resang dan tetamu yang lain. - EDISI UKAS