KUALA LUMPUR: Reruai pameran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menjadi salah satu tarikan pengunjung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 pada Sabtu.
Paling mencuri perhatian adalah penggunaan teknologi canggih hologram yang menunjukkan pemimpin Bumi Kenyalang, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam bentuk digital setinggi 1.82 meter.
Ia bukan sahaja menonjolkan kemajuan teknologi, malah menekankan kepentingan pemimpin dalam membentuk masa depan wilayah tersebut.
Bermula seawal jam 8 pagi reruai pameran ini diisi dengan pelbagai aktiviti, antaranya pengagihan goodies bag berisi barangan eksklusif UKAS, risalah inisiatif Premier Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Selain itu, terdapat juga perkongsian kajian (survei) serta peraduan kuiz digital yang menawarkan hadiah-hadiah menarik seperti komputer riba, tablet, mesin pencetak, pembesar suara, 'ear buds', powerbank dan pendrive.
Upacara ringkas penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang yang berjaya menjawab kuiz telah disempurnakan oleh Pengarah UKAS, Samuel Simon.
Selain itu, selaras dengan slogan 'Saluran Informasi Rakyat', para pengunjung terutama pelajar yang datang ke reruai ini juga berpeluang memahami visi dan misi yang dibawa oleh kerajaan Sarawak melalui perkongsian maklumat lebih jelas yang disampaikan oleh kakitangan UKAS.
Turut berpeluang mengunjungi reruai ini ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato' Sri Nancy Shukri, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Digital Datuk Ugak Kumbong serta beberapa kenamaan yang lain.
Kira-kira 64 reruai lain turut dibuka pada program LBAS kali ini; mencerminkan usaha berterusan dalam mempromosikan Sarawak sebagai wilayah maju dan berdaya saing yang mengekalkan identiti serta kekayaan warisan budaya..-Edisi UKAS