SIBU: Seramai 718 anak muda Sarawak telah berjaya mara ke Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Sarawak untuk bersaing merebut tempat ke Grand Final Kebangsaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, Kerajaan Sarawak melihat program ini sebagai platform terbaik untuk mempamer dan memperkenalkan teknologi dan inovasi baharu, di samping mencetuskan minat masyarakat setempat khususnya pelajar dan belia dalam bidang teknologi.
Ujarnya, penyertaan anak muda Sarawak ini diharapkan akan membantu menyumbang kepada perwakilan terbesar dalam Malaysia Techlympics 2024.
Kerajaan Sarawak katanya juga akan terus memberikan sokongan dan komitmen padu kepada MOSTI khususnya dalam penganjuran Grand Final Kebangsaan Malaysia Techlympics 2024 yang dijadualkan pada 17 dan 18 November depan.
"Penglibatan Kerajaan Sarawak dalam menyokong pelaksanaan Malaysia Techlympics 2024 bagi Zon Sarawak mencerminkan komitmennya untuk memupuk budaya STI dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya
Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Sarawak di Stadium Tertutup Sibu pada Jumaat.
Dato Sri Roland Sagah turut menggalakkan belia Sarawak untuk memanfaatkan sepenuhnya inisiatif yang disediakan kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Jelas beliau, ini khususnya dalam memacu pelbagai program dan aktiviti, mewujudkan budaya STI yang menyeluruh dan memupuk kesedaran dan penglibatan yang lebih besar dalam bidang ini.
"Antara matlamat utama program ini adalah untuk mempromosikan teknologi dan inovasi dalam kalangan rakyat Sarawak khususnya pelajar dan belia," ujarnya.
Malaysia Techlympics 2024 berfungsi sebagai pertandingan berasaskan STI yang direka untuk membantu peserta mempelajari dan menggunakan teknologi terkini melalui projek inovasi langsung seperti robotik, dron, pengekodan dan banyak lagi.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ruziah Shafie dan Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid. - EDISI UKAS