FoodUnites Perkenal Makanan Tradisional Kepada Generasi Muda

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: FoodUnites adalah satu inisiatif yang memfokuskan usaha memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran tentang makanan tradisional pelbagai etnik khususnya dalam kalangan generasi muda di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program tereebut diadakan sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak dan bertepatan dengan kemeriahan bulan Syawal. 

“Program ini menyajikan pelbagai jenis makanan etnik melalui pameran Rumah Kami yang bertemakan hiasan dan dekorasi mengikut 11 Kaum Etnik (Melayu, Iban, Cina, India, Bidayuh, Melanau, Rara, Jawa, Bugis, Kedayan, Orang Ulu) dan Rumah Kami menyajikan 54 jenis makanan yang ada di negara kita dan boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya semasa berucap pada Program Rumah Terbuka Aidilfitri dan FoodUnites Sarawak 2024 sempena sambutan Minggu Perpaduan bertempat di Pusat Konvensyen Penview di Kuching pada malam Ahad.

Tambahnya lagi, program ini turut menekankan pemupukan toleransi kaum melalui pelaksanaan program Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada bulan April, di samping dapat mengeratkan tali persaudaraan dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian negara terjamin.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengekalkan makanan warisan sebagai lambang perpaduan di negara ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak Dirwana Azool, ADUN Opar Billy Sujang serta isteri, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Strategik JPNIN Malaysia Mohd Fardhi Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof serta isteri.-EDISI UKAS