KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dengan kerjasama Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Jabatan Premier Sarawak telah mengadakan Program Taklimat Sarawak Digital Government Services untuk Zon Selatan bagi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau dan dihadiri seramai 200 orang peserta dari rumah-rumah ibadat, pertubuhan-pertubuhan keagamaan serta ketua-ketua masyarakat dari sekitar Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
Sementara itu, Dato Georgina Apphia dalam ucapan menyarankan agar rumah-rumah ibadat dan pertubuhan-pertubuhan keagamaan menerima pakai teknologi digital agar terus kekal relevan dengan keadaan semasa dan bergerak maju ke hadapan seiring dengan agenda pembangunan Kerajaan.
Program ini diadakan sebagai salah satu aktiviti untuk memperkenalkan Other Religions Service Management System (ORSEM) iaitu sistem atas talian yang telah dibangunkan oleh UNIFOR untuk memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan UNIFOR.
Program ini juga diadakan untuk memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan digital kerajaan yang lain seperti seperti permohonan biasiswa, Kenyalang Gold Card (KGC) dan Senior Citizen Health Benefit (SCHB) melalui sesi taklimat yang diadakan.
Aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan adalah pendaftaran Sarawak ID oleh para peserta dan juga pendaftaran Sarawak ID Corporate oleh rumah-rumah ibadat dan pertubuhan-pertubuhan keagamaan yang hadir.
Turut hadir Pengarah SCSDU, Grace Huong Siew Hung. -EDISI UKAS