Komuniti Melanau Harus Bergerak Seiring Dengan Kaum Lain

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Komuniti Melanau harus bergerak seiring dengan kaum lain dalam keterangkuman sosial agar tidak ketinggalan dalam segala bidang.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata kaum Melanau juga haruslah terus bersatu padu dan bergerak aktif untuk memaju ekonomi, pendidikan dan sosial kaum.
 
Ia termasuk pelaksanaan apa jua aktiviti keramaian seperti Kaul Mukah dan sebagainya, ujarnya lagi.
 
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Persatuan Melanau Mukah 2024-2026 di Kingwood Mukah pada Sabtu.
 
“Saya berharap agar ahli dalam persatuan juga harus mempunyai objektif dan idea bagi memastikan warisan, budaya dan apa jua yang berkaitan Melanau dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya.
 
Pada mesyuarat tersebut, Abdul Yakub menang tanpa bertanding bagi  jawatan Presiden Persatuan Melanau Mukah untuk sesi 2024-2026.
 
Antara jawatan lain yang turut menang tanpa bertanding adalah Timbalan Presiden Persatuan Melanau Mukah disandang ADUN Tellian, Royston Valentine, Setiausaha Mazira Ramli, dan Bendahari Pengiran Saifudzin Pengiran Mahtar.
 
“Untuk jawatan EXCO Persatuan Melanau Mukah kali ini diisi secara seimbang dengan penyertaan belia, agar sama-sama menggerakkan Persatuan ini, seiring dengan keperluan semasa,” menurutnya. - EDISI UKAS