Manfaatkan Platform Media Sosial Dengan Sebaiknya

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Masyarakat diingatkan agar memanfaatkan platform media sosial dengan sebaik-baiknya.
 
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, oyston Valentine, platform media sosial harus digunakan secara berhemah.
 
“Di samping itu saya turut mengingatkan berkaitan penggunaan media sosial untuk tujuan yang lebih baik selain menjadikannya sebagai platform viral isu yang tidak sepatutnya sebab kaedah aduan terus kepada agensi berkaitan adalah lebih sesuai.
 
“Malahan saya sendiri pun sentiasa membuka ruang untuk menerima sebarang aduan secara terus,” katanya berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Skim Penempatan Semula Kuala Lama di Dewan SPS Kuala Lama pada Sabtu.
 
Beliau turut menyeru badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat kampung agar sentiasa aktif supaya dapat membasmi gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah serta judi atas talian yang mampu menghancurkan masyarakat.
 
Dalam ucapannya juga, beliau telah mengumumkan pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 di kawasan SPS Kuala Lama iaitu naik taraf sistem perparitan dengan kos RM500,000.
 
Selain itu, beliau turut menyalurkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM3,000 kepada surau.
 
Pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah, persembahan tarian, nyanyian dan agihan duit raya telah diadakan. - EDISI UKAS