SPAOH: Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha merasmikan Balai Polis Spaoh yang baharu yang telah siap sepenuhnya pada 16 Jun tahun lepas.
Balai Polis Spaoh yang baharu ini dibina menerusi dana projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) hasil keprihatinan Kerajaan Sarawak iaitu di bawah pemantauan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Bangunan baharu balai tersebut telah dibina di atas tanah berkeluasan 2.45 hektar dengan keluasan tapak projek seluas 1.52 hektar dan saiz bangunan yang baharu 5,850 kaki persegi dengan nilai pembinaan sebanyak RM7,445,888.
Balai Polis Spaoh yang lama dicadangkan untuk dijadikan Muzium Sejarah Polis dan sebagai salah satu tarikan pelancongan di Pekan Spaoh.
Berucap dalam majlis perasmian tersebut, Dato Mancha berkata, dengan adanya kemudahan bangunan serta fasiliti yang serba moden dan lengkap di Balai Polis baharu ini, beliau yakin warga kerja Balai Polis Spaoh akan terus menabur bakti serta mempamerkan mutu perkhidmatan yang lebih cemerlang untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan ini sentiasa terjamin.
“Ruang kerja yang kondusif mempunyai kesan yang signifikan ke atas komitmen pekerja.
“Oleh itu, persekitaran kerja yang selesa sudah pasti akan memangkin kecekapan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan seterusnya menjamin kualiti perkhidmatan bagi memenuhi tuntutan masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, Balai Polis Spaoh yang baharu ini dilengkapi dengan fasiliti Bagunan Pentadbiran (Balai Polis beserta lokap), 1 Unit Stor Barang Kes (1 Tungkat), 8 Unit Kuarters Kelas F (2 Tingkat), 1 Pondok Pengawal dan Garaj Kenderaan Pasukan (Berbumbung). -EDISI UKAS