KANOWIT: Daerah Kanowit mempunyai banyak bakat atlet muda yang mampu digilap dan dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata ia dibuktikan apabila ramai bakat berpotensi dicungkil menerusi penganjuran Kejohanan Olahraga Pembangunan MSSD Kanowit 2024.
Justeru beliau berharap agar semua pelajar ini terus mengembangkan potensi diri dan sentiasa berusaha memperbaiki kemampuan hingga ke peringat yang lebih tinggi.
"Kejohanan ini telah menjadi platform penting dalam memupuk semangat kesukanan, disiplin dan kerja berpasukan dalam kalangan murid-murid."
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Olahraga Pembangunan MSSD Kanowit 2024 di Kompleks Sukan Kanowit pada Khamis.
Katanya, potensi ditonjolkan oleh para atlet pada kejohanan itu adalah kebanggaan Kanowit dan hasil titik peluh atlet sendiri.
Sebelum mengakhiri ucapan, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang telah memberikan usaha yang terbaik, begitu juga kepada semua jurulatih yang telah bekerjasama dalam melatih murid-murid sehingga mereka menjadi seorang yang hebat.
"Penyertaan dan semangat juang yang telah ditunjukkan oleh para atlet dan komitmen yang padu oleh jurulatih di sekolah masing-masing adalah pencapaian yang sebenarnya."
Sebagai tanda sokongan, Anyi telah meluluskan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Pembangunan Olahraga (MSSD) Kanowit.
Kejohanan Olahraga Pembangunan MSSD Kanowit 2024 telah disertai sebanyak 601 peserta daripada 35 buah sekolah rendah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kanowit.
Hadir sama PPD Kanowit Yakup Jai, Timbalan PPD (Sektor Pembangunan Murid) Tius Sigi, Guru Besar SK Batu Luking merangkap Pengerusi MSSD Zon Kanowit Kenny Bilong Lusat, Guru Besar SJKC Yee Ting merangkap Pengerusi Pengelola Kejohanan Tang Sung Tai dan Guru Besar SK St Francis Xavier merangkap Pengerusi Majlis Perasmian Kejohanan Roslind John Little. – EDISI UKAS