Kekalkan Perpaduan Demi Kemakmuran Bersama

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KABONG: Rakyat khasnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong diminta agar terus bersatu dan menjaga perpaduan demi keamanan, kemajuan dan kemakmuran bersama di kawasan berkenaan.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata ini kerana perpaduan masyarakat berbilang bangsa di Sarawak terbukti sejak sekian lama apabila dapat hidup bersama dan berkongsi budaya serta sambutan perayaan pelbagai kaum.
 
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Juh Berindok Rami Aidilfitri Bersama PBB N.40 Kabong di Dewan Terbuka Pantai Tanjung Kembang, Kabong pada Ahad.
 
Dalam ucapannya lagi, beliau menjelaskan akan mengadakan Program Rumah Terbuka Gawai Dayak N.40 Kabong kerana program keraian sebegini mampu mengeratkan silaturrahim sesama penduduk.
 
Sebanyak 13 gerai Ranting-Ranting Gabungan termasuk Gerai Pemuda & Gerai Belia PBB N.40 Kabong telah menyediakan pelbagai juadah Raya untuk disajikan kepada semua pengunjung yang hadir.
 
Program yang bermula sekitar jam 8:30 pagi telah tamat sekitar jam 1 petang.
 
Pada majlis ini juga telah disampaikan hadiah untuk beberapa pertandingan antaranya Gerai Tercantik, Pertandingan Masakan Nasi dan Pertandingan Bertandak.
 
Turut hadir Ahli Dewan Negara Senator Pele Peter Tinggom, Pegawai Daerah Kabong Tahir Sharee, wakil ADUN Kalaka Kr Kasdi Pandi, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Masyarakat dan para jemputan. - EDISI UKAS