KUCHING: Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah Ekonomi Digital Sarawak 2024 menyaksikan pencapaian cemerlang dalam inovasi serta transformasi digital yang telah mengubah wajah negeri ini.
Acara ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024, yang kini menjadi platform global dalam memajukan kecemerlangan digital dan kemajuan sosioekonomi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi menekankan bahawa majlis ini merupakan perayaan yang menghargai usaha gigih individu, perniagaan, dan institusi yang memanfaatkan teknologi untuk mencetuskan perubahan positif.
“Anugerah ini adalah bukti komitmen kita untuk menjadikan Sarawak sebagai peneraju ekonomi digital di rantau ini,” katanya semasa berucap dalam majlis itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Khamis.
Beliau menambah bahawa transformasi digital bukan hanya pemacu utama pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta mencapai pembangunan mampan.
“IDECS telah memberikan impak yang signifikan kepada Sarawak, terutamanya melalui penubuhan institusi-institusi penting seperti Bank Pembangunan Sarawak (DBos), Sarawak Multimedia Authority (SMA), dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
“Institusi-institusi ini telah memainkan peranan yang krusial dalam melaksanakan pelbagai inisiatif ekonomi digital di negeri ini, sekaligus meletakkan asas yang kukuh untuk membina masa depan digital Sarawak yang lebih cemerlang,” ujarnya.
Kemuncak acara malam itu ialah penyampaian Anugerah Ekonomi Digital Premier, yang mengiktiraf pencapaian paling cemerlang dalam kalangan pemenang kategori yang dipertandingkan.
Antara kategori anugerah yang dipertandingkan termasuk Anugerah Perusahaan Kecil dan Sederhana (MSME), Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan, Anugerah Permulaan Teknologi, Anugerah Kerajaan Digital, Anugerah Kelestarian, dan Anugerah Industri 4.0. Setiap kategori bertujuan menyerlahkan pencapaian mereka yang menerajui bidang kritikal dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital Sarawak.
Sehubungan itu, Dato Sri Julaihi menjelaskan bahawa anugerah ini melambangkan kepimpinan berpandangan jauh Premier dalam menjadikan inovasi digital sebagai pemangkin utama kemakmuran negeri.
Menurut beliau, Sarawak perlu terus berdaya tahan dan inovatif dalam menghadapi cabaran ekonomi digital.
“Kita mesti memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta serta memanfaatkan teknologi secara bijak untuk membina negeri yang lebih mampan,” tambahnya.
Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Pengerusi SAINS, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak, Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta tetamu lain.-EDISI UKAS