Blok Hospital Baharu Miri Jangka Operasi Tahun Depan

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Blok hospital baharu Miri dijangka mula beroperasi sepenuhnya tahun depan.
 
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, pembangunan blok baharu itu bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti pesakit Hospital Miri tetapi juga menandakan kejayaan dalam rawatan perubatan.
 
Beliau menjelaskan bahawa ia juga akan menjadikan perkhidmatan perubatan berkualiti lebih mudah diakses oleh penduduk tempatan.
 
“Kita kini di fasa percubaan, dan pemasangan peralatan perubatan canggih kini telah berada di bahagian kemuncak.
 
“Operasi penuh hospital boleh dialihkan dengan lancar kepada menggunakan pendekatan berperingkat untuk penempatan kakitangan dan logistik, sambil mengekalkan standard tertinggi penjagaan pesakit.,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Persatuan Melanau Miri di Dewan Balau, Persatuan Melanau Miri pada Sabtu
 
Datuk Lukanisman turut menekankan kepentingan untuk tidak tergesa-gesa dalam menajalanlan operasi pada pelancaran blok baharu itu kelak.
 
Beliau seterusnya berkata bahawa ini adalah untuk menjamin ujian menyeluruh, pemasangan peralatan, dan latihan kakitangan untuk bilangan orang yang mencukupi untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan dan kesihatan yang optimum kepada masyarakat.
 
Hadir sama Majlis Timbalan Presiden II Persekutuan Melanau Sarawak merangkap Penasihat I Persatuan Melanau Miri, Dato Alexander Maiyor, Penghulu Samad Alip, Temenggong Dato Haji Abdul Rahman Bin Fadzail Presiden Persatuan Melanau Miri, Kr. Abdullah Jaini dan Pengerusi Pengelora Majlis merangkap Naib Presiden Persatuan Melanau Miri,  Masni Amit.-EDISI UKAS