Kuching Tuan Rumah Persidangan Pengurusan Air Antarabangsa BIWWEC 2024

Disiarkan pada 18 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Pameran dan Persidangan Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2024 yang akan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Dengan tema 'Bridging Solutions for Water Sustainability', persidangan ini bertujuan untuk memupuk perkongsian pengetahuan dan kerjasama dalam pengurusan air, melibatkan lebih 60 penceramah dari 13 negara.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata Sarawak bertuah kerana dapat menjadi tuan rumah kepada penceramah terkemuka yang mempunyai sumbangan besar kepada sektor air global.

“Persidangan ini juga akan menampilkan Persidangan Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (SUTCON) dan Persidangan & Mesyuarat Malaysia Water Industry Human Resources (MyWINHR) yang diadakan bersama BIWWEC.

"Kerjasama ini penting bagi meningkatkan impak kolektif pihak berkepentingan industri,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Menara LCDA, Kuching hari ini.

Sehubungan itu, Dato Sri Julaihi menegaskan bahawa acara ini akan menjadi platform penting dalam menangani cabaran berkaitan sumber air di tengah-tengah tekanan akibat pertumbuhan penduduk, perindustrian dan perubahan iklim.

Untuk makluman, BIWWEC 2024 akan melibatkan lebih 1,000 peserta di mana seramai 60 peserta pameran akan mempamerkan teknologi terkini dalam bidang air dan air sisa, memberikan peluang kepada peserta untuk berinteraksi dengan kemajuan terbaharu dalam sektor ini. -EDISI UKAS