NAMLIFA Sasar 100 Pain Darah Dari Penderma

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Takaful Keluarga (NAMLIFA) Miri mensasarkan 100 pain darah untuk dikumpulkan daripada penderma pada program Kempen Derma Darah kali ini.
 
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menyeru orang awam agar memberi sokongan penuh kepada aktiviti-aktiviti derma darah ini untuk menambah bekalan darah di Bank Darah Hospital Miri.
 
Beliau turut berasa berbesar hati atas golongan sukarelawan Miri yang sentiasa sudi dan komitmen untuk menderma darah tanpa mengharapkan sebarang balasan.
 
Lee turut memuji kerjasama diberikan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di sini kerana aktif menganjurkan kempen derma darah.
 
“Hampir setiap minggu sepanjang tahun pelbagai pihak termasuk NGO, Kerajaan dan agensi swasta menganjur kempen derma darah.
 
Sebahagian bekalan darah yang didermakan ini turut diagihkan untuk keperluan di kawasan luar bandar seperti Marudi, Limbang dan Lawas”, katanya ketika ditemui media pada program tersebut di Myy Mall Lutong Miri pada Sabtu.
 
Program amal ini merupakan program tahunan NAMLIFA bagi tujuan menderma darah kepada Hospital Umum Miri unuk memastikan bekalan darah di Hospital Miri adalah sentiasa stabil.
 
Untuk rekod, Bahagian Miri telah berjaya mendapatkan 9683 pain darah menerusi aktiviti derma darah sepanjang tahun 2023 dan disasarkan untuk mendapatkan 10,000 pain darah pada tahun ini.
 
Hadir sama Pengerusi NAMLIFA Miri, Mary Yii Sii Ing dan Pengerusi pengelola kempen derma darah, Norlina Binti Suilcong.-EDISI UKAS