21 Penerima Di DUN Kedup Terima MRP Berjumlah RM232,000

Disiarkan pada 17 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Serama 21 penerima di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup menerima dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM232,000.

Penyerahan dana pada Khamis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben.

Antara penerima termasuklah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah di kawasan Kedup, kelab dan persatuan, Pejabat Kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), gereja dan Biro Wanita.

Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Martin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup menasihati para penerima agar menggunakan dana yang diberikan sebaik dan setelus yang mungkin untuk mengelakkan berlakunya masalah-masalah lain di kemudian hari.

Dalam kesempatan itu juga, beliau turut menyampaikan insentif pendidikan kepada enam pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Pemberian insentif RM500 kepada setiap pelajar dibuat secara ‘one-off’ bagi meringankan sedikit beban kewangan di samping menyuntik semangat kepada pelajar untuk meneruskan kecemerlangan mereka di universiti nanti. -EDISI UKAS