MIRI: Pusat Khidmat Pujut terus menunjukkan komitmen tinggi dalam mempertingkatkan infrastruktur pendidikan dengan mengadakan lawatan projek di Sekolah Kebangsaan (SK) Miri pada Khamis.
Datuk Bandar Miri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata projek ini dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023 Pujut dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan projek naik taraf kemudahan di sekolah tersebut.
Menurut Adam Yii, usaha penambahbaikan ini menjadi keutamaan bagi memastikan pelajar menikmati kemudahan yang selesa dan berkualiti, selari dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan taraf pendidikan di luar bandar.
“Antara kerja-kerja yang berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan, dari 5 Julai hingga 5 Oktober 2024, termasuklah pemasangan enam unit penghawa dingin 6hp, pendawaian elektrik baru, serta peningkatan kotak utama elektrik,” jelas beliau.
Tambah Adam Yii, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan keselesaan pelajar dan guru, tetapi juga memperkukuhkan infrastruktur sekolah agar dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
“Kita mahu memastikan pelajar di SK Miri dapat belajar dalam suasana yang selesa dan dilengkapi kemudahan moden yang mencukupi,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, turut dibincangkan adalah perancangan untuk projek masa hadapan di bawah RTP 2024, yang melibatkan tambahan bajet sebanyak RM100,000.
“Fokus projek akan datang termasuk naik taraf bilik seminar dan bilik komputer, selain pemasangan awning untuk kemudahan tambahan di sekolah,” ujar beliau.
Adam Yii turut menegaskan bahawa projek-projek RTP ini diharap dapat memperkukuh komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang lebih baik di kawasan luar bandar, sekali gus membuka peluang masa depan yang lebih cerah kepada generasi muda.
Turut hadir dalam lawatan ini adalah Guru Besar SK Miri, Puan Masnah Sulong; Yang Dipertua PIBG SK Miri, Encik Mohammad Hafidz Rohani; dan wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Encik Trevor Steven Lawrence Jama’ee.
Usaha berterusan ini mencerminkan keazaman untuk memperkasakan pendidikan luar bandar, menjadikan SK Miri sebagai contoh sekolah yang menerima manfaat daripada pembangunan berterusan. – EDISI UKAS