Shiyan, CHINA: Bandaraya Miri dan Bandar Shiyan, Hubei, China, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kerjasama dalam bidang ekonomi, budaya dan pelancongan.
Majlis tersebut berlangsung di Shiyan pada 14 Oktober lalu, antara Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, dan Datuk Bandar Shiyan, Wang Yonghui.
Dalam ucapannya, Adam Yii menekankan bahawa Miri, sebagai bandar kedua terbesar di Sarawak, sedang berkembang pesat dengan visi menjadi bandar hijau dan mesra pelancong.
Beliau juga berkongsi pencapaian Miri, termasuk pengiktirafan Silver Award di Seoul untuk kategori 'City for Human-Centered Living'.
Dalam pada itu, Wang Yonghui berkata Shiyan dikenali dengan seni bela diri Wudang dan perubatan tradisional China yang berjaya membuka peluang kerjasama di bidang tersebut.
Wang Yonghui juga menyatakan bahawa Shiyan adalah tapak warisan dunia UNESCO, manakala Miri mempunyai dua tapak warisan dunia iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah, menjadikan kedua-dua bandar ini sesuai sebagai destinasi berpotensi tinggi untuk bekerjasama dalam sektor pelancongan.
Kerjasama ini katanya diharap dapat menyumbang kepada pembangunan pelbagai sektor di Miri. -EDISI UKAS