Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Sungai Putin Berlangsung Meriah

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



SADONG JAYA : Aspek kerjasama straregik memainkan peranan penting dalam keberhasilan menganjurkan program yang memberi impak kepada komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata ia mampu mengukuhkan semangat berpasukan bagi melaksana matlamat sama.

"Syabas dan tahniah kepada JKKK dan KRT Kampung Sungai Putin kerana sambutan majlis ramah tamah hari ini amat menggalakkan dan meriah sekali.

"Kerjasama beginilah yang saya sangat suka sekali kerana setiap persatuan atau pertubuhan di dalam sesebuah kampung dapat bergabung serta berkumpul di dalam satu majlis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Sungai Putin yang diadakan di Dataran Kejat Kampung Sungai Putin, pada Sabtu.

Majlis tersebut merupakan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Putin.

Ujarnya lagi, sekiranya setiap persatuan mahupun pertubuhan dapat bergabung di dalam melaksanakan sesuatu aktiviti seperti ini, maka ia dapat menjimatkan masa serta kos di dalam mengendalikan sesuatu program.

Awla juga berharap sikap bekerjasama ini dapat dikekalkan pada masa akan datang agar ikatan silaturahim dan ukhuwah akan di kalangan penduduk kampung dapat dikekalkan.

Dalam majlis yang sama, Awla turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada pihak Baitumal Samarahan oleh Ketua Bahagian Baitumal Samarahan, Norzahan Bahani.

Seramai 14 orang penerima menerima sumbangan Bantuan Kasih Baitumal, manakala lima orang lagi menerima Sumbangan Sara Hidup.

Turut diadakan adalah penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang bagi pertandingan futsal dan pertandingan rumah ceria sempena Hari Raya Aidilfitri.

Hadir sama bagi memeriahkan majlis tersebut adalah Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Kecil Daerah Sadong Jaya Abdullah Sam Yusup, Pemanca Salleh Kemis, Ketua Kaum Kampung Sungai Putin Hassan Alon, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Putin Awang Basiri Awang Salleh dan Ketua Bahagian Baitumal Samarahan Norzahan Bahani. -EDISI UKAS