KUCHING: Duta Besar Amerika Syarikat Ke Malaysia, Edgard D.Kagan mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena lawatan kerja beliau selama dua hari di sini.
Kunjungan hormat buat kali ketiga itu menandakan usaha berterusan untuk memperkukuh kerjasama antara Amerika Syarikat dengan kerajaan Sarawak.
Hadir sama semasa kunjungan hormat ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Menurut Edgard, pelbagai inisiatif kerjasama telah dibincangkan, terutama dalam bidang tenaga bersih, teknologi hidrogen, termasuk hal demokrasi dan pembangunan masyarakat.
"Saya sangat kagum terhadap pengetahuan mendalam Premier Sarawak mengenai isu-isu tenaga bersih serta komitmen beliau dalam mencari penyelesaian bagi menghadapi cabaran tenaga global.
"Sarawak mempunyai banyak potensi untuk menjadi pangkalan bagi pelaburan kami, dengan menumpukan kepada sektor-sektor seperti gas luar pesisir dan aeroangkasa,"katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat di pejabat Premier Sarawak di Menara Pelita, di sini pada Khamis.
Tambah Edgard, tujuan utama lawatan beliau ke Sarawak adalah sempena dengan ulang tahun ke-20 Perpustakaan Negeri Sarawak yang ditubuhkan dengan sokongan pemimpin Amerika Syarikat.
Katanya lagi, ia adalah salah satu inisiatif paling berjaya yang melibatkan sumbangan dari Amerika Syarikat.-Edisi UKAS