KUCHING: Seramai 165 pegawai daripada 67 jabatan dan agensi persekutuan dalam sektor pendidikan dan sosial melakukan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.
Menurut Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, kunjungan hormat itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak di bawah Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.
“Rakan-rakan penjawat awam kita sangat teruja dan berbesar hati menerima nasihat dan pandangan daripada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang.
"Nasihat dan pandangan Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan kita bawa sebagai bekal dan panduan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, negeri dan negara," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri kepada Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Dato' Azmir Saifuddin Mutalib, Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak ( UNIMAS), Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman dan tetamu kehormat lain.
Dato Ahmad Nadzri turut menzahirkan ucapan tahniah atas pemasyhuran Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sebagai Canselor keempat UNIMAS dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah atas menerima Darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (DP) baru-baru ini.
Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato' Sri Syed Hamzah Syed Paie berkata, majlis itu bertujuan memastikan semua agensi persekutuan mempunyai peluang yang sama untuk membuat kunjungan hormat ke atas Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dengan mengumpulkan agensi mengikut sektor.
Ini merupakan majlis ketiga yang diadakan sebagai sebahagian daripada siri kunjungan hormat daripada agensi persekutuan kepada Ketua Negara.
Untuk rekod, majlis pertama berlangsung pada 11 September lalu dihadiri oleh 196 pegawai persekutuan daripada 25 agensi sektor keselamatan.
Manakala, sesi kedua diadakan pada 2 Oktober lalu dihadiri oleh 191 pegawai daripada 51 jabatan dan agensi dalam sektor pembangunan dan ekonomi. -EDISI UKAS