AI & Data Pemangkin Kejayaan Visi Sarawak

Disiarkan pada 17 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kecerdasan Buatan (AI) dan data, kini dilihat sebagai salah satu pemangkin untuk mencapai visi yang telah digariskan oleh Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, gabungan kedua-dua elemen ini dapat membantu kerajaan Sarawak mengenalpasti kehendak semasa dalam merangka strategi untuk tindakan seterusnya.

Mengambil contoh peranan AI dan data dalam mencapai visi Sarawak untuk memodenkan sektor tenaga, beliau memberitahu kedua-duanya digunakan untuk membentuk semula sektor tenaga, merevolusikan penjanaan, pengagihan dan konsumsi tenaga tersebut.

“Sebagai contoh, AI akan membolehkan pengurusan grid pintar dengan memantau dan mengawal aliran elektrik secara langsung.

“Dengan mengintegrasikan sumber tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan dan respon kepada permintaan tenaga, AI akan membantu mengimbangkan bekalan dan permintaan serta memaksimumkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa memberi ucaptama dalam Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2024 (IDECS24) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu algoritma AI boleh menganalisis sejumlah besar data daripada sistem tenaga, termasuk grid kuasa dan sumber tenaga boleh diperbaharui yang membawa kepada penggunaan sumber tenaga yang lebih cekap dan pengurangan pelepasan karbon.

Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab ke atas IDECS24 menambah, selain dalam sektor tenaga, AI dan data dapat dimanfaatkan untuk mencapai hasrat kerajaan Sarawak menjadi pengeksport makanan menjelang 2030.

“Dengan memanfaatkan teknologi digital terkini seperti AI, ‘Internet of Things’ (IoT) dan analitik data, Sarawak dapat mempercepatkan proses peralihan kepada pertanian pintar dan tepat.

“Peralihan ini bukan sahaja dapat meningkatkan hasil tanaman dan produktiviti kita, tetapi juga memperbaiki kecekapan pengeluaran dan akses pasaran keseluruhan. Kemajuan ini penting ketika kita berusaha untuk memenuhi agenda keterjaminan makanan untuk Sarawak,” jelas beliau lagi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Pengerusi Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd. (SAINS) Tan Sri Datuk Patinggi Dr George Chan Hong Nam, Pengurus Besar Sarawak Media Authority (SMA) Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) Datu Jafri Lias. -EDISI UKAS