KUCHING: Tebingan Sungai Kuching akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti sempena Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2024 yang akan berlangsung bermula 25 Oktober ini hingga 3 November depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara utama festival ini adalah Sarawak International Dragon Boat Regatta dan Sarawak Regatta.
Menurutnya, sebanyak 61 pasukan dari 21 buah negara akan menyertai Sarawak International Dragon Boat Regatta yang ke-10 ini, dengan jumlah penyertaan seramai 1,872 orang,
"Terdapat kategori baharu dipertandingkan iaitu 'National Costume Race 12’s' yang mana akan mempamerkan pelbagai busana dari pelbagai negara yang akan menyertai kategori ini.
"Selain daripada itu, diadakan juga acara khas 'Race For Harmony' melibatkan peserta -peserta Cancer Survivior dan Para Dragon.
"Jumlah hadiah wang tunai keseluruhan adalah sebanyak RM100,000 selain daripada piala dan pingat,"katanya dalam sidang media di majlis penyampaian tajaan bagi festival tersebut di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Rabu.
Manakala, bagi Sarawak Regatta pula katanya, sebanyak 16 kategori perlumbaan akan dipertandingkan untuk merebut Piala Raja Sungai yang dijangka disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh PuananPatinggi Fauziah Mohd Sanusi pada 3 November.
"Pemenang Raja Sungai akan membawa pulang piala pusingan dan wang tunai berjumlah RM30,000.00.
"Jumlah keseluruhan hadiah untuk perlumbaan Sarawak Regatta 2024 adalah sebanyak RM374,000 termasuk piala dan wang tunai,"tambah beliau.
Mengulas lanjut, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, festival ini akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 26 Oktober, manakala penutupannya dijangka disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada kemuncak acara.
Selain daripada Raja Sungai, terdapat banyak lagi acara-acara lain yang akan diadakan seperti Sarawak Entrepreneur Showcase, Borneo Craft Festival, demonstrasi masakan, Festival Gendang Melayu Sarawak termasuk acara baru iaitu Marathon 3 kilometer.
Dalam majlis itu, sejumlah RM1.5 juta, yang mana RM550,000 disumbangkan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai penaja platinum, diikuti Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Petra Energy Berhad dan Bintulu Port Holdings masing-masing menyumbang RM300,000 sebagai penaja emas serta JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited menyumbang RM50,000 sebagai penaja gangsa.
Penaja bersama yang lain termasuk Sarawork Sdn Bhd, Hock Peng Realty Sdn Bhd, Ta Ann Holdings Berhad, Borneo Housing Mortgage Finance Berhad, Sarawak Plantation Berhad, dan MOMA Water.
Sokongan kewangan ini dijangka akan meningkatkan lagi penganjuran festival dan memberikan pengalaman yang menarik kepada semua peserta dan pengunjung.
Turut hadir pada sidang media itu ialah
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chew Yew, Setiausaha Tetap kementerian itu Datu Sherina Hussaini dan Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.-Edisi UKAS