SK Kampung Pangtray Daro Bakal Miliki Dewan Serbaguna

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



DARO: Sebuah Dewan Serbaguna akan dibina di SK Kampung Pangtray Daro.
 
Perkara ini telah diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad pada Majlis Berlanggar Meja Ramah Tamah Aidilfitri anjuran PIBG SK Pangtray dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang ada di Kampung Pangtray pada Ahad.
 
“Sebagaimana yang dimaklumkan kita telah mendapat maklum balas daripada pihak JPN Sarawak atas permohonan untuk membina sebuah dewan serbaguna di SK Kpg Pangtray telah diberi kelulusan dan saya telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 untuk pembinaan dewan ini yang akan dilaksanakan pada tahun ini juga,” ujar Safiee.
 
“Insha Allah tahun hadapan kita akan dapat laksanakan program seperti ini di Dewan SK Pangtray sendiri.”
 
Katanya, projek ini nanti akan memberi keselesaan kepada murid dan guru di SK Pangtray untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan program.
 
Ujar beliau, penggabungan komuniti seperti ini yang terdiri daripada pihak sekolah dan NGO yang ada untuk mengadakan program seperti ini dilihat sangat menjaga perpaduan dan keharmonian antara semua peringkat komuniti.
 
“Budaya ini perlu dikekal supaya silaturrahim antara kita akan sentiasa terjalin.
 
“Kemeriahan Aidilfitri kali ini dilihat sungguh meriah dengan kehadiran sanak saudara yang balik kampung dan yang menjadi teruja adalah apabila melihat Projek Jambatan Muara Lassa yang dijangka siap pada tahun ini,” katanya.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata projek jambatan ini akan memberi banyak manfaat kepada penduduk Daro dan sekitarnya.
 
Katanya, masyarakat di situ tidak akan membuang masa untuk beratur menunggu feri lagi selepas ini apabila jambatan itu siap kelak.
 
Dalam pada masa yang sama ADUN Daro turut mengumumkan sumbangan peruntukan sebanyak RM6,000 kepada PIBG SK Kampung Pangtray.
 
Turut hadir Guru Besar SK Kampung Pangtray Buang Maharof, Penghulu Kawasan Jebli Ngok dan Ketua Kaum Kampung Pangtray, Shamshiah Saibi. - EDISI UKAS