IDECS24 Main Peranan Bentuk Strategi Jadikan Sarawak Gergasi Ekonomi Digital

Disiarkan pada 16 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa 2024 (IDECS24) memainkan peranan penting untuk membentuk dan melakar strategi dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai gergasi ekonomi digital di peringkat global menjelang 2030.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, IDECS24 kali ini menjemput pemain industri termasuklah syarikat-syarikat berkepentingan, pakar ekonomi, pembuat dasar dan inovator untuk meneroka potensi transformasi teknologi.

“Ketika dunia mengalami perubahan seperti perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar dan penebangan hutan, semakin jelas untuk kita mengakui kepentingan teknologi canggih seperti ‘Artificial Intelligence’ (AI) untuk menyelesaikan isu-isu ini.

“Tahun ini, IDECS24 menunjukkan komitmen kami untuk mencipta masa depan yang makmur dari segi ekonomi, inklusif secara sosial, serta persekitaran yang mampan."

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian IDECS24 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.

Hadir menyempurnakan IDECS24 ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar yang juga Pengerusi IDECS24 menambah, pada edisi ke-7 ini, konferens akan menggaris beberapa perkara penting termasuklah bandar pintar, peranan wanita sebagai peneraju industri teknologi serta penekanan kepada kemahiran keusahawanan dan inovasi.

“Dengan memperluaskan kapasiti dan keterangkuman dalam teknologi, kita dapat mengguna sepenuhnya potensi bakat yang kita ada sekaligus merangsang bidang inovasi yang merentasi semua sektor dan masyarakat,” jelas beliau lagi.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Liwan Lagang, Pengerusi Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd. (SAINS) Tan Sri Datuk Patinggi Dr George Chan Hong Nam, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Datuk Amar Tan Sri (Dr) Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS