KUCHING: Dalam mendepani dunia teknologi yang beraruskan kepada kecerdasan buatan (AI), kerajaan Sarawak bakal menubuhkan Pusat AI yang akan meneraju inisiatif kerajaan dalam penggunaan AI dan integrasinya ke dalam infrastruktur digital di Bumi Kenyalang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pusat ini amat penting dalam usaha memacu inovasi dan mengetengahkan Sarawak sebagai pusat penyelidikan dan perkembangan AI.
Tambahnya, melalui kerjasama strategik dengan institusi akademik, pemimpin industri dan entiti kerajaan, Pusat AI Sarawak sedang membina ekosistem AI yang dinamik.
"Salah satu inisiatif utama Pusat ini adalah program 'AI untuk Pertanian Pintar', yang menggunakan analitik data berkuasa AI untuk mengoptimumkan hasil tanaman dan mempromosikan kelestarian dalam pertanian.
"Pusat ini juga mempelopori projek-projek dalam bidang kesihatan, seperti analitik prediktif untuk pengesanan awal penyakit, dan meningkatkan kecekapan tenaga melalui sistem grid pintar yang digerakkan oleh AI," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2024 (IDECS 2024) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini pada Rabu.
Ujarnya, kerajaan Sarawak tetap komited untuk melaksanakan strategi digital yang beretika dan telus yang meningkatkan kualiti hidup setiap rakyat Sarawak.
Dalam membudayakan lagi industri yang beraruskan teknologi AI ini, Premier Sarawak dalam ucapannya turut melancarkan 'Inisiatif Pembangunan Bakat AI'.
Menurutnya, hal ini adalah usaha untuk membangunkan tenaga kerja yang mahir dengan kompetensi AI yang canggih, selaras dengan permintaan industri masa depan.
"Inisiatif ini menekankan komitmen kerajaan Sarawak untuk memanfaatkan AI sebagai pemacu utama transformasi digital di pelbagai sektor," tegasnya.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, kerajaan Sarawak telah membentuk Unit AI dalam perkhidmatan awam dan membangunkan pusat data AI untuk mengukuhkan keupayaan kerajaan.
Untuk mencapai usaha ini, kerajaan Sarawak katanya akan bekerjasama rapat dengan pakar industri, akademia, pihak berkuasa persekutuan, dan badan antarabangsa, memastikan sumbangan yang bermakna dalam perjalanan transformasi AI di Sarawak. -EDISI UKAS