Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Canselor Baharu UNIMAS

Disiarkan pada 16 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang keempat.

Pemasyhuran ini bertujuan meneruskan legasi kepimpinan cemerlang Canselor terdahulu, Allahyarham Tun Pehin Sri (Dr.) Abdul Taib Mahmud.

Sebagai seorang tokoh yang berkaliber, berwawasan dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan tadbir urus, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi diyakini akan terus memperkukuh visi dan misi UNIMAS sebagai sebuah universiti berorientasikan komuniti dan lestari selaras dengan motonya, 'Universiti Komuniti Lestari'.

"Dengan rasa rendah hati, saya menerima tanggungjawab besar ini. Saya sedar bahawa memikul amanah sebagai Canselor sebuah universiti bukan sahaja merupakan satu penghormatan, tetapi juga membawa tanggungjawab besar.

"la bukan sekadar simbol kepada universiti ini, tetapi juga berperanan penting sebagai penggerak aspirasi UNIMAS untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Sekalung penghargaan turut saya ucapkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi atas pelantikan ini. InshaAllah, saya akan memanfaatkan peluang ini untuk mencurahkan bakti dan khidmat saya, demi kemajuan Sarawak serta negara Malaysia yang kita cintai,"katanya.

Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi berucap demikian selepas menerima watikah pelantikan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambri Abdul Kadir dalam Majlis Istiadat Pemasyhuran Canselor UNIMAS di Bilik Mengadap Utama, Astana Negeri Sarawak, di sini pada Rabu.

Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.

Terdahulu semasa berucap, Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Diraja Dr Zambri Abdul Kadir memberitahu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi merupakan figura hebat yang tidak lekang dalam menimba ilmu dan pengalaman serta mempunyai perspektif global yang luar biasa.

Katanya, beliau bukan sahaja mempunyai pengalaman karier di dalam dunia politik, bidang kepolisan dan perundangan, bahkan berkecimpung sebagai seorang penulis prolifik.

"'Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah'; begitulah harapan saya dengan pelantikan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sebagai Canselor UNIMAS yang baharu. Kekuatan universiti bertambah teguh dengan peranan beliau, kerjasama di antara UNIMAS dan kerajaan Sarawak dan persekutuan dipereratkan lagi.

"Ibarat juga, 'condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan'; Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dilihat sebagai sosok pemimpin yang akan bersama-sama UNIMAS, membantu dan sebagai arah pandu dalam apa jua perancangan universiti kelak,"jelasnya.

Berucap sama, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit turut mengakui kehebatan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi yang dilihat terletak kepada komitmen beliau yang tinggi dalam menggalas segala tanggungjawab ketika bertugas sebagai anggota polis, peguam, ahli parlimen, ahli politik dan sebagai Tuan Yang di-Pertuan Dewan Negara.

"Kepimpinan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut diakui di peringkat antarabangsa dan antaranya, telah menyumbang kepada pembentukan ASEAN Inter-Parliamentary Caucus dan dilantik menjadi Pengerusi pertama.

"Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi merupakan satu-satunya ahli parlimen di ASEAN yang pernah dilantik menjadi Pengerusi Kaukus AIPA ASEAN sebanyak dua kali iaitu pada 2007 dan sekali lagi pada tahun 2018.

"Penglibatan Tun Pehin Sri dalam pergerakan Pengkap juga menyumbang kepada kepimpinan beliau. Ia turut mencerminkan kecekapan, kewibawaan, ketokohan dan wawasan Tun Pehin Sri dalam tadbir urus dan perancangan bagi memantapkan organisasi yang diketuai,"ujar beliau.

Dengan terzahirnya pemasyhuran ini, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi secara rasmi diberikan kuasa untuk mempengerusikan majlis konvokesyen, menganugerahkan ijazah dan melaksanakan apa-apa kewajipan seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Akta Universiti dan Kolej Universiti.-Edisi UKAS