TERENGGANU: Skuad Bola Sepak Sarawak layak ke pusingan kedua selepas menumpaskan Perlis, 4-1, pada Rabu.
Dalam aksi yang berlangsung di Padang A, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Sarawak mendahului gol menerusi Muhammad Muzakkir Arif Saini.
Perlis berjaya menyamakan kedudukan sebelum babak pertama tamat.
Perlawanan tampak kurang seimbang dengan serangan-serangan berbahaya yang dilancarkan Sarawak kerap menguji kekebalan pertahanan Perlis sebaik wisel babak kedua bermula.
Serangan bertali arus Sarawak akhirnya membuahkan hasil daripada tandukan pemain jersi 17, Epienizam Effendi berjaya menerjah gawang Perlis.
'Neymar' Skuad Sarawak, Mohd Syafiq, membuat kejutan dengan sepakan deras dari luar kota penalti menumpaskan penjaga gol Perlis untuk gol ketiga Sarawak.
Nyemar sekali lagi menghadiahkan gol keempat juga dari luar kotak penalti yang mengesahkan slot ke pusingan kedua untuk negeri Sarawak.
Sementara itu, Timbalan Chef de Mission (CDM) SUKSEM IX Sarawak merangkap Pengarah Unit Pentadbiran, Datu Mohamad Junaidi Mohidin turut hadir memberi sokongan kepada para pemain.