KUCHING: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi menegaskan beliau akan terus menjalankan aktiviti ‘turun padang’ bagi memantau projek bekalan air di kawasan luar bandar.
Katanya, keputusan untuk meninjau sendiri setiap projek bukanlah kerana tidak mempercayai laporan yang disampaikan oleh pegawai Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, tetapi lebih kepada memastikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai keadaan sebenar di lapangan.
“Saya banyak pergi ke tapak lapangan dan saya lebih selesa membuat lawatan bersama semua pihak, di setiap bahagian atau kawasan terpilih. Ini tidak bermakna saya tidak percaya laporan yang diberikan, tetapi saya percaya bahawa 'seeing is believing', mungkin ada isu-isu atau masalah-masalah tertentu yang hanya boleh kita selesaikan apabila kita sama-sama berada di tapak lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Apresiasi JBALB Sarawak 2024 di sini pada Selasa.
Dato Sri Julaihi turut memberi contoh lawatan beliau ke Loji Air Niah, di mana beliau mendapati walaupun bekalan air mencukupi buat masa ini, sumber air untuk jangka panjang mungkin tidak mencukupi jika empangan yang sepatutnya dibina terus tergendala akibat masalah kontraktor.
“Saya ambil contoh saya telah pergi ke loji air Niah, kita dapati bahawa Niah kalau berdasarkan keadaan sekarang kita boleh mendapatkan bekalan air.
“Tetapi kemungkinan sumber air kita tidak mencukupi untuk kita proses dijadikan air terawat dalam jangka panjang adalah boleh berlaku kalau tidak dibina pegung yang sepatutnya siap tetapi tergendala disebabkan masalah kontraktor.
"Maka berlakulah mutual termination. Isu seperti ini hanya dapat dinilai apabila kita sendiri berada di lapangan,” tambah beliau.
Hadir sama Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Utiliti Datuk Abdul Rahman Junaidi, Pengarah JBALB Sarawak Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan dan tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS