KOTA SAMARAHAN: Sarawak melangkah ke hadapan dalam usaha global memelihara hutan paya gambut dengan menganjurkan Seminar Living Labs for Wetland Research (LiWeFoR) 2024, yang berlangsung di Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (TROPI), Kota Samarahan pada Selasa.
Seminar ini yang dijayakan dengan kerjasama Universiti Tartu, Estonia, dan Persatuan Gambut Malaysia (MPS), dihadiri oleh penyelidik dan pemegang taruh dari seluruh dunia.
Pengarah TROPI, Datu Dr. Lulie Melling, berkata seminar ini berfungsi sebagai platform utama untuk memperkukuh kepakaran dalam pengurusan hutan paya gambut.
Beliau menekankan tujuan LiWeFoR adalah untuk menutup jurang pengetahuan serta mempromosi kerjaya sains dan strategi pengurusan karbon dan nutrien.
“Kami juga berhasrat untuk mewujudkan repositori data terbuka bagi pengukuran gas rumah hijau dan faktor persekitaran di kawasan paya gambut,” jelasnya.
Projek LiWeFoR melibatkan kerjasama dengan institusi terkenal di peringkat antarabangsa seperti Universiti Helsinki, Finland; Institut Teknologi Karlsruhe, Jerman; Institut Penyelidikan Amazon Peru (IIAP), Peru; dan Universiti Tartu, Estonia yang menerima dana penyelidikan dari Kesatuan Eropah (EU).
Dr. Lulie turut menggesa peserta agar aktif dalam perbincangan dan menjalin kerjasama erat untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh hutan paya gambut dan alam sekitar secara keseluruhannya.
“Kami berbesar hati dengan kehadiran kumpulan penyelidik dan pemegang taruh yang pelbagai.
“Kepakaran anda semua adalah penting untuk meneroka penyelesaian inovatif bagi masa depan hutan paya gambut yang mampan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan TROPI dan Prof Ulo Mander dari Universiti Tartu atas komitmen mereka dalam menjayakan seminar ini.
Dr. Lulie berharap seminar ini akan memberikan impak positif dan pengalaman yang bermanfaat kepada semua peserta, sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan jangka panjang ekosistem paya gambut.
Negara-negara seperti Jerman, Peru, dan Finland turut mengambil bahagian dalam seminar ini, yang dijangka memberi sumbangan besar ke arah pengurusan lestari hutan paya gambut di peringkat global. – EDISI UKAS