Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu 1446H Berlangsung Meriah di Kampung Assyakirin

Disiarkan pada 16 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS

BINTULU: Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu 1446 Hijrah (2024) berlangsung dengan penuh gemilang di Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1 pada 14 dan 15 Oktober 2024. 

Dengan tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”, majlis ini menjadi pentas utama bagi 12 peserta qari dan qariah yang memperdengarkan bacaan indah ayat suci Al-Quran, sekali gus memartabatkan seni tilawah di peringkat bahagian.

Malam pertama majlis menyaksikan lapan peserta memperdengarkan bacaan masing-masing, manakala baki empat peserta akan tampil pada malam kedua.

Pada malam terakhir ini, johan, naib johan, dan tempat ketiga bagi kategori qari dan qariah akan dinobatkan, menandakan kemuncak kepada usaha gigih dan penghayatan al-Quran oleh para peserta.

Acara ini turut diserikan dengan cabutan bertuah dan persembahan Kalam Jama'ie oleh pelajar dari SK (A) MIS (Raudhatul Jannah). 

Majlis ini juga diserikan dengan pelbagai gerai pameran daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Tabung Haji, Andalusia, dan Baitulmal, yang menawarkan perkhidmatan serta maklumat bermanfaat kepada para pengunjung. 

Hadir sama  Timbalan Residen Bahagian, Abang Zainuddin Abang Turkey, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan, Pegawai Agama Islam Bahagian, Ustaz Dzulhazdri Japar Shedik, Penghulu, Drahman Sisit dan Ketua Kampung Assyakirin Fasa 1, Awang Hamdan Awg Kerta.-EDISI UKAS