Pelbagai Aktiviti Meriahkan Pesta Kaul Oya 2024

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


OYA: Pelbagai aktiviti memeriahkan sambutan Pesta Kaul Oya 2024 yang diadakan dari 19 hingga 21 April di Tapak Kaul Pantai Kuala Hilir Oya.
 
Ia turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
 
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine serta isteri dan Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh.
 
Sebaik tiba, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi melawat Benteng Kawalan Hakisan Pantai Kuala Hilir Oya dan pelepasan acara akhir pertandingan tarik tali.
 
Manakala Toh Puan Fauziah menyempurnakan simbolik permainan bola jaring.
 
Selepas majlis penyampaian cenderamata oleh Dato Sri Fatimah, komuniti Melanau, Iban dan Cina, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri melawat reruai pameran oleh 22 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang mengambil bahagian dalam pesta kali ini.
 
Beliau bersama isteri dan hadirin lain kemudiannya melawat Lebuk Kaul Oya sebelum berangkat pulang.
 
Orang ramai sudah mula membanjiri tapak pesta sejak dari pagi lagi untuk menyaksikan acara tradisi iaitu pergerakan bot yang membawa serahang ke Tapak Kaul Oya.
 
Merancakkan lagi pesta kali ini upacara lintas paramotor di Pantai Kuala Oya oleh lima juruterbang dari Miri. - EDISI UKAS