Kemudahan Tapak Kaul Oya Akan Dipertingkatkan

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


OYA: Pelbagai kemudahan akan dibina di Tapak Kaul Oya bagi mengangkat lagi nilai pelancongan di situ serta untuk kemudahan rakyat setempat.
 
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, antara yang dilaksanakan adalah penyambungan benteng kawalan hakisan pantai Kampung Kuala Hilir Oya yang akan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
 
Katanya, termasuk dalam komponen projek berkenaan adalah pembinaan struktur ‘Armour Rock Revetment’ sepanjang 230 meter dan sambungan ‘walkway’ sepanjang 300 meter.
 
Selain itu turut dirancang adalah pembinaan jeti tempat perahu nelayan mendarat dan lampu bangku yang menelan kos anggaran RM4 juta.
 
“Untuk memastikan bahawa pengunjung yang datang ke tapak Kaul ini bukan sahaja ‘one-off’ pada Pesta Kaul seperti ini, tetapi sepanjang tahun, kami amat akur bahawa perlunya menambah kemudahan yang ada di sini.
 
“Jadi kita bercadang untuk membina sebuah anjung selera makanan laut seperti di Melaka.  
 
“Kita juga akan bina pentas utama berbumbung yang kekal, dewan pelbagai guna untuk kegunaan anak-anak atau jabatan mengadakan program team building dan sebagainya.”
 
Beliau berucap demikian semasa Perasmian Pesta Kaul Oya 2024 dan Benteng Kawalan Hakisan Pantai Kuala Hilir Oya di Tapak Kaul Pantai Kuala Hilir Oya pada Ahad.
 
Ia turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
 
Tambah ADUN Dalat itu lagi, tapak perniagaan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan juga akan disediakan termasuk wedding pool, landskap, tandas dan Replika Teba Tuanku atau perigi tuanku yang mana keseluruhan anggaran kos sebanyak RM4 juta.
 
Katanya, sebanyak RM1.2 juta pula diperlukan untuk membina surau di kawasan itu untuk kemudahan beribadah.
 
Menyentuh mengenai Benteng Kawalan Hakisan Pantai Kuala Hilir Oya, beliau berkata projek tersebut memainkan peranan penting kepada penduduk kampung berkenaan dan sekitarnya.
 
Katanya, benteng tersebut memastikan pantai Kuala Hilir Oya tidak sempit dan sentiasa bersih dari sampah sarap.
 
“Projek ini telah diluluskan oleh Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri pada 16 April 2016 sewaktu memegang jawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia.
 
“Peruntukan yang diluluskan oleh Tun Pehin Sri pada masa itu iaitu RM19.5 juta telah dikurangkan kepada RM14.4 juta.
 
“Daripada peruntukan RM14.4 juta jadi skopnya menjadi 1.4 kilometer panjang dan 150 konkrit walkway yang sangat popular pada waktu petang untuk melihat sunset.
 
“Ia telah mula pada 15 November 2021 dan siap pada 14 November 2023 iaitu dua tahun,” katanya lagi.
 
Katanya lagi, turut dibina di situ adalah sembilan unit Lebuk Kaul Oya atau Rumah Kaul yang dibangunkan menggunakan peruntukan Geran Projek Kecil Luar bandar (MRP) sebanyak RM50,000 setiap satu.
 
Jelas Dato Sri Fatimah, Lebuk Kaul Oya dibina secara gotong-royong bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai kawasan tumpuan agensi kerajaan, swasta dan sekolah bagi tujuan ‘outreach’, ‘team building’, ko-kurikulum dan ‘family retreat’. - EDISI UKAS