Masalah Projek Jalan Kuching-Kota Samarahan Ditender Semula

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Masalah projek pembinaan jalan dari Kuching ke kota Samarahan telah ditender semula kepada kontraktor baharu pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang memberitahu pentenderan semula projek tersebut dibuat memandangkan kontraktor sebelum ini tidak dapat memenuhi prestasi yang ditetapkan.

Hal ini katanya, telah menjurus kepada kelewatan untuk menyiapkan projek yang sepatutnya siap sepenuhnya pada tahun ini.

“Sepatutnya jalan ini sudah boleh siap pada tahun ini tetapi memandangkan menghadapi isu kontraktor dan masalah teknikal dan sebagainya, ianya telah ditender semula dan telah pun bermula.

“Insya-Allah, projek ini akan siap sepenuhnya pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim pada Ahad. 

Datuk Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan menolak dakwaan kelewatan projek tersebut disebabkan oleh masalah kewangan sebaliknya ianya menghadapi masalah daripada kontraktor yang dilantik sebelum ini.

“Tidak melibatkan bajet sebaliknya isu perlaksanaannya sahaja dan isu teknikal.

“Apabila kedua-dua jalan ini dapat kita siapkan dalam tempoh baharu yang telah ditetapkan, Insya-Allah masalah laluan dari Kota Samarahan ke Kuching ini dapat kita tangani dengan baik dan berkesan,” tambahnya lagi.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof yang mana beliau telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan penyampaian dana kepada 68 penerima.

Penerima dana tersebut merupakan mereka yang terdiri daripada rumah-rumah ibadat agama Islam dan Kristian, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah sekitar Kota Samarahan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan dan kelab dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM274,000. 

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang Dato Idris Buang dan Residen Bahagian Kota Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang. -EDISI UKAS