Kerajaan Sarawak Komited Sediakan Infrastruktur & Kemudahan Sekolah Lengkap

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



BINTULU: Kerajaan Sarawak komited kepada menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang lengkap bagi semua sekolah di negeri ini.

 

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi memberitahu, infrastruktur dan kemudahan yang lengkap di sekolah secara tidak langsung dapat mempengaruhi mutu pengajaran dan pembelajaran positif.

 

“Ia juga akan dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dari segi pelajaran dan dari segi pintar teknologi.

 

“Generasi baharu ini sekarang bijak dalam menggunakan teknologi yang sentiasa berkembang dengan inovasi baharu terutamanya bahan-bahan atau informasi dalam talian yang kini boleh dicapai hanya di hujung jari,” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Gelanggang Berbumbung dan Ramah Tamah Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tellingai di sini pada Sabtu.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu menambah, infrastruktur dan kemudahan yang lengkap juga akan diutamakan dalam bidang pertanian.

 

“Cara kita bertani kini perlu seiring dengan teknologi baharu agar produktiviti hasil tanaman meningkat dan dapat menyumbang pada rantaian bekalan makanan yang mencukupi selain daripada adanya nilai kebolehpasaran. 

 

“Sebagai contoh, kita mempraktikkan Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RGC) yang fokus kepada tanaman yang berbeza di setiap zon atau bahagian seperti di Padawan, di mana kita membangunkan tanaman kopi premium,” ujarnya.

 

Dalam majlis sama, Dato Sri Dr Stephen Rundi telah menyumbangkan dana sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut. 

 

Turut hadir ialah Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Guru Besar SK Batu Tellingai Jafri Idris dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Collin Patan. -EDISI UKAS