Dato’ Sri Huang Lawat Rumah-Rumah Panjang Di Repok

Disiarkan pada 14 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, baru-baru ini melawat beberapa rumah panjang di kawasan Merudu, Sungai Baji, dan Sungai Sentebu.

Antara rumah panjang yang dikunjungi termasuk Rumah Robert Igo, Rumah Edmund William, dan Rumah Adeline Ligi.

Lawatan ini bertujuan untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh penduduk, khususnya dalam usaha meningkatkan kemudahan asas dan taraf hidup masyarakat berbilang kaum.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Huang menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada penduduk setempat atas sokongan yang diberikan untuk terus berkhidmat dan membawa kemajuan kepada kawasan Sarikei.

“Sokongan ini memberi peluang kepada saya untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan membawa kemajuan kepada kawasan Sarikei,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan komitmen kerajaan Sarawak, di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, untuk terus memajukan kawasan Sarikei dan Meradong demi kepentingan rakyat. -EDISI UKAS