Bantuan Segera Untuk Mangsa Kebakaran Lapan Rumah Di Miri

Disiarkan pada 14 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, telah melawat mangsa kebakaran yang melibatkan lapan unit rumah teres di Taman Ceria, Bandar Baru Permyjaya, Miri, pada Ahad.

Kebakaran tersebut memusnahkan keseluruhan enam unit kediaman itu dan dua unit lagi dengan kerosakan teruk.

Dalam lawatan itu, Dato Sri Lee menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk segera memberikan bantuan, terutama dalam bentuk keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan keperluan sekolah untuk kanak-kanak.

Beliau juga meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menyiasat punca kebakaran.

Seramai 51 mangsa terlibat dalam insiden ini, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dato Sri Lee menasihatkan mangsa untuk berhubung dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) mengenai perlindungan insurans rumah.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Komander Operasi Mohammad Faizul Ali, Kaunselor Jeffrey Phang, Kaunselor Nicholas Toh, wakil Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Miri. -EDISI UKAS