TERENGGANU: Kontinjen Sarawak 2024 menggalas tanggungjawab besar membawa imej Sarawak ke Terengganu dalam misi mempertahankan gelaran juara pada Sukan SUK-Se Malaysia (SUKSEM) IX.
Chef de Mission (CDM) SUKSEM merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik berkata, para atlet bukan sahaja membawa nama Perkidmatan Awam Negeri Sarawak malah keseluruhan Sarawak amnya.
"Saya ingin mengingatkan kepada para atlet untuk menjaga disiplin seperti yang ditekankan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki sebelum ini.
"Walaupun tujuan kita sama seperti pasukan lain untuk memburu kejuaraan tetapi kita mesti ingat kita bawa imej baik negeri Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Kontinjen Sarawak sempena SUKSEM IX 2024 di sini, pada Ahad.
Datu Buckland turut mengingatkan para atlet agar memberi komitmen sepenuhnya dalam pertandingan.
Ujar beliau, komitmen ini penting dalam usaha mereka memburu kejuaran.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan CDM SUKSEM IX Sarawak merangkap Pengarah Unit Pentadbiran, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pembangunan) Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Razak dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pembangunan Manusia dan Integriti) serta yang lain. -EDISI UKAS