Program JIWA Komuniti Madani Mendidik Masyarakat Bermaklumat

Disiarkan pada 14 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti Madani berfokus pada pembangunan masyarakat yang lebih peka dan berinformasi.

Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, menekankan pentingnya pendekatan berasaskan didikan masyarakat untuk menangani kecelaruan informasi yang kerap muncul di media digital dan arus perdana.

Dengan memperkasakan individu melalui pengetahuan dan kesedaran, program ini bertujuan untuk membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan berdaya saing.

"Komuniti dan masyarakat perlu meletakkan keutamaan maklumat betul, tepat dan benar sebagai pegangan serta kunci kekuatan.

“Ia adalah untuk menangkis usaha-usaha pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah mendapatkan keuntungan menerusi penggunaan kemajuan teknologi alaf baharu melakukan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menyempurnakan Program JIWA Komuniti MADANI di Auditorium INFRA Cawangan Sarawak, Kota Samarahan pada Ahad.

Tambah Rais, peranan kerajaan adalah penting dalam memastikan usaha berterusan dalam penyediaan pelbagai bidang pekerjaan, termasuk sektor ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan, dan teknologi.

Katanya, ia merupakan salah satu usaha untuk memenuhi keperluan semasa dan global demi memastikan kesinambungan taraf hidup masyarakat terpelihara dalam jangka panjang.

Dalam program tersebut, Rais juga menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Komuniti Madani Got Talent.

Acara itu diakhiri dengan sesi bergambar bersama komuniti setempat, memperkukuh hubungan dan semangat kebersamaan antara semua yang terlibat.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak Aziz Abdul Rahman, Penolong Pegawai Daerah Samarahan Hayati Sahari, Pegawai Penerangan Daerah Samarahan Abdul Latif Shamsuddin dan Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Samarahan Seli Hassan. -EDISI UKAS