Muzium Budaya Borneo Catat Sejarah Tersendiri, Rekod 1 Juta Pengunjung Sejak Dibuka Mac 2022

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) mencatatkan sejarah tersendiri apabila merekodkan seramai sejuta orang pengunjung sejak ia dibuka pada 9 Mac 2022.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah ketibaan semua pengunjung itu melibatkan para pengunjung dari 152 negara.

Menurutnya, setakat ini ia BCM merekodkan pendapatan sebanyak RM5,000,861,369 berbanding pendapatan sebelum ini yang menyaksikan Muzium Sarawak hanya didatangi lebih kurang 100,000 orang setahun.

"Jumlah pengunjung yang paling ramai adalah dari negara Indonesia dan selain Brunei Darussalam malah pengunjung dari Australia juga ramai datang berkunjung pada suku pertama tahun ini.

“Sehingga hari ini jumlah yang datang dari Australia sahaja seramai 2,766 orang semenjak ia dirasmikan pada tahun 2022, manakala dari Singapura seramai 5, 999 orang dan saya percaya jumlah ini sudah lebih 6,000 orang.

"Sementara itu dari United Kingdom pula mencatatkan jumlah kunjungan seramai 3,239 orang iaitu jumlah yang amat membanggakan saya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menyantuni pengunjung ke satu juta di Muzium Budaya Borneo di sini pada Ahad. 
 
Mengulas lanjut, Dato Sri Abdul Karim berkata beliau telah memaklumkan kepada Jabatan Muzium untuk menulis surat kepada pihak sekolah di sekitar dan luar Kuching bagi menggalakkan para pelajar untuk melawat BCM.

“Kita berusaha untuk menarik minat anak-anak muda supaya mereka dapat menghayati sejarah budaya di Sarawak. Ini sangat penting. 

“Jika dilihat di muzium sebelah barat, sebelum bangunan itu dibuka, terdapat deretan pelajar sekolah yang memakai uniform sekolah menunggu di luar muzium. Itu yang kita hendak tengok di BCM ini,” ujar beliau.  

Hadir sama dalam program itu ialah, isteri beliau Datin Seri Zuraini Abdul Jabar dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Nancy Jolhi. -EDISI UKAS