SIBU: Menguasai pengetahuan asas pertolongan cemas adalah penting untuk menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan semasa bersukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek, menegaskan bahawa atlet, jurulatih, dan penonton perlu memiliki kemahiran ini untuk bertindak pantas dan berkesan apabila berlaku kecederaan.
Dalam ucapan semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2024 di Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu, beliau berkata risiko kecederaan dalam sukan, dari pergelangan kaki terseliuh hingga serangan jantung, adalah nyata.
Menurut Chieng, atlet muda perlu dipupuk dengan pendedahan dan kepentingan pertolongan cemas memastikan keselamatan dalam acara sukan.
Dalam pada itu beliau turut memuji BSMM atas usaha mereka dalam memberikan latihan dan pendidikan mengenai pertolongan cemas, yang telah menggalakkan budaya bertindak cepat dalam komuniti.
Beliau menggesa semua anggota masyarakat untuk mempertimbangkan mempelajari kemahiran ini, demi kesiapsiagaan dalam sebarang kecemasan, bukan hanya di padang sukan.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, Penasihat Kehormat BSMM Cabang Sibu, Datuk Lau Ngie Hua, dan Pengerusi BSMM Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee serta dan pengerusi pengelola sambutan tersebut Normah Abdul Rahman.-EDISI UKAS